EcoFirst bayar dividen pertama dalam masa setahun

SUBANG, 26 Okt (Bernama) — Syarikat pemaju hartanah, EcoFirst Consolidated Bhd (EcoFirst) berhasrat membayar dividen pertama pada jumlah kecil daripada keuntungannya dalam tempoh 12 bulan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Tiong Kwing Hee.

Menurutnya, syarikat itu seterusnya akan menambah jumlah dividen itu setiap tahun yang turut dijadikan dasar pembayaran dividen syarikat tersebut.

“Saya telah berjanji kepada pemegang saham bahawa saya akan membuat bayaran itu dalam masa 12 bulan. Ini merupakan (bayaran) dividen pertama selepas bertahun lamanya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.

Keuntungan bersih suku pertama EcoFirst berakhir 31 Ogos, 2018 mencecah RM4.7 juta walaupun dalam persekitaran hartanah yang lembap manakala perolehannya sebanyak RM44.7 juta.

Tiong berkata syarikat itu juga berjaya mengekalkan rekod prestasi keuntungan yang disumbangkan oleh kecekapan pengurusan sumber, struktur kos dan keupayaan mengawal hutang yang rendah.

“Fasa 1 Liberty@Ampang Ukay (Liberty) yang terjual 95 peratus itu membuktikan keupayaan EcoFirst untuk memasuki segmen pasaran dan menghasilkan produk yang menepati permintaan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, Liberty juga berjalan lancar mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2019.

“Kami kini menumpukan usaha membabitkan Fasa 2 Ampang Ukay yang dirancang sebagai pembangunan dengan kepadatan rendah merangkumi cadangan pembangunan tiga blok mengandungi unit bersaiz luas selain sesuai dengan keperluan keluarga muda. Ia dijadual untuk dilancarkan pada suku ketiga 2019.

“Sejajar kedudukannya sebagai tanah pegangan bebas yang luas dan terakhir di sempadan Hulu Klang, projek Ampang Ukay seluas 35.21 hektar itu akan menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi jangka pertengahan dan panjang dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan RM5 bilion,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, Tiong berkata EcoFirst menyasarkan peluang untuk membangunkan tanah kecil di kawasan kejiranan mewah bagi meraih aliran tunai yang cepat dan mantap.

Mengulas harapan bagi pembentangan Bajet 2019, Ketua Pembangunan dan Hartanah EcoFirst, Janice Loh berkata syarikat itu berharap kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai tambahan bagi hartanah yang boleh menjejaskan pasaran segmen itu yang suram ketika ini.

Publication: Bernama

Channel: Online

Language: Malay

Source From: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1658401